Para Sahabat mendapat kedudukan yang tinggi dan utama kerana mereka adalah umat yang paling tinggi akhlak dan perangainya. Mereka tetap istiqamah diatas iman, sehingga mereka mendapatkan apa yang telah dijanjikan kepada mereka.
Allah telah merakamkan redhaNya terhadap mereka ini didalam Surah at-Taubah:100 (maksudnya)..."Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama(masuk Islam) diantara orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, ALLAH redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada ALLAH. ALLAH menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai. Mereka kekal didalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar."
MasyaALLAH...!! itulah kemenangan yang besar, yang agung. beruntung!! dirakamkan ALLAH didalam al-Quran.
Rasulullah SAW melarang keras umat Islam mencaci maki para Sahabat r.a : "Jangan kalian mencaci Sahabatku. Demi Rabb Yang diriku berada ditanganNya, jika seandainya salah seorang dari kalian memberikan infaq emas sebesar gunung Uhud, maka belumlah mencapai nilai infaq mereka meskipun (mereka infaq hanya) satu mudd(iaitu sepenuh dua telapak tangan) dan tidak juga separuhnya." Dari Sahabat Abu Sa'id al-Khudri, hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, at-Tirmidzi, Ahmad.
Para Sahabat Nabi SAW ramai, namun mari kita kenal sebahagian yang Terkenal yang di riwayatkan dari seorang Sahabat Nabi SAW, 'Abdurrahman bin 'Auf, hadis sahih diriwayatkan oleh Abu Dawud,at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad, al-Hakim mengenai 10 orang Sahabat yang dijamin masuk syurga: Abu Bakar ash-Shiddiq, 'Umar bin al-Khaththab, 'Utsman bin 'Affan, 'Ali bin Abi Thalib, 'Abdurrahman bin 'Auf, az-Zubair bin Awwam, Sa'ad bin Abi Waqqash, Sa'id bin Zaid, Abu 'Ubaidah al-Jarrah dan Thalhah bin 'Ubaidillah. Ramai lagi Sahabat yang dijanjikan masuk syurga berdasarkan hadis-hadis riwayat yang lainnya.
In brief....
Abu Bakar ash-Shiddiq R.A
- Dilahirkan dua setengah tahun setelah tahun Gajah.
- Wafat pada tahun 13H, pada usia 63 tahun.
Nama lengkapnya adalah 'Abdullah bin Abi Qahafah, 'Utsman bin 'Amir al-Qurasyi Abu Bakar ash-Shiddiq R.A. Beliau adalah teman rapat Nabi SAW. Oleh kerana itu orang dewasa yang pertama di ajak Nabi SAW menyembah ALLAH adalah beliau. Seorang pedagang dan yang berakhlak baik, cukup terkenal. Diajaknya 'Utsman bin 'Affan, 'Abdurrahman bin 'Auf, Thalhah bin 'Ubaidillah, Sa'ad bin Abi Waqqash dan Zubair bin 'Awwam, kemudian Abu 'Ubaidah bin al-Jarrah. Menemani Nabi SAW baik sebelum maupun sesudah beliau menjadi Rasul, menemani ketika hijrah, dan ikut bersama Nabi SAW di setiap peperangan. Beliau adalah khalifah pertama selepas Nabi SAW wafat dan dijamin masuk syurga. Kata-katanya yang masyhur ketika dilantik menjadi Khulafa al-Rashidin yang pertama:
"Amma Ba'd. wahai manusia, aku sudah dijadikan penguasa atas kamu sekelian, dan aku bukanlah orang yang terbaik diantara kamu. Kalau aku berlaku baik, bantulah aku. Kebenaran adalah sesuatu kepercayaan, dan dusta adalah pengkianatan. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di mata aku, sesudah haknya nanti aku berikan padanya-insyaAllah, dan orang yang kuat, adalah lemah sesudah haknya aku ambil-insyaAllah. Apabila ada golongan yang meninggalkan perjuangan di jalan Allah, maka Allah akan menimpakan kehinaan kepada mereka. Apabila kejahatan itu sudah meluas pada suatu golongan, maka Allah akan menyebarkan bencana kepada mereka. Taatilah aku selama aku taat kepada perintah Allah dan RasulNya. Tetapi apabila aku melanggar perintah Allah dan Rasul maka gugurlah kesetiaanmu kepadaku. Dirikan Solat. Allah akan merahmati kamu sekelian."
'Umar bin al-Khaththab R.A
- Wafat pada tahun 23H(644M)
Berkulit putih kemerah-merahan, tegap, tegas, pantas , gagah bermain pedang. Menjadi Khalifah yang ke-2 selepas Abu Bakar ash-Shiddiq pada tahun 11H(633M). Pada masa pemerintahannya beliau telah mengembangkan empayar Islam ke Iraq, sebahagian iran, Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara. Abu Musa al-Ashari (Gabenor Basra ketika itu) menghantar utusan kepada 'Umar menyatakan kesukarannya memberi keutamaan melaksanakan arahan 'Umar kerana tiada tarikh. 'Umar kemudiannya mengadakan majlis perbincangan untuk mengadakan tarikh(kalendar). Pelbagai cadangan diberikan oleh majlis, dan diantaranya 'Ali bin Abi Thalib R.A mengesyorkan tarikh dimulakan pada tahun hijrahnya muslimin dari Makkah ke Madinah. Maka itulah permulaannya kalendar Hijrah.
Rasulullah SAW pernah mengkhabarkan kepadanya bahwa 'Umar akan mati sebagai Syuhada. Anas bin Malik R.A meriwayatkan, ketika Rasulullah SAW mendaki gunung Uhud, Beliau disertai oleh Abu Bakar, 'Umar, 'Utsman, 'Ali R.A, lalu gunung itu bergetar. Beliau pun menghentakkan kakinya, bersabda: "Tenanglah Uhud, kerana diatasmu ada seorang nabi, seorang shiddiq dan dua orang syahid."( Hadis riwayat al-Bukhari:3675). Sebagaimana dikhabarkan Rasulullah SAW, 'Umar R.A telah dibunuh oleh Abu Lu'lu al-Majusi ketika beliau mengimami kaum muslimin solat subuh di Masjid Nabawi pada tahun 23H.
'Utsman bin'Affan R.A
- Lahir 7 tahun sebelum Rasululullah SAW
- Wafat pada tahun 35H(655M) pada umur 84tahun.
Beliau adalah Abu 'Amru, Abu 'Abdillah 'Utsman bin 'Affan bin Abi al-Ashi R.A. Mempunyai kaitan darah dengan Nabi SAW daripada keturunan 'Abdu Manaf. Memeluk Islam ditangan Abu Bakar ash-Shiddiq R.A dan antara golongan terawal masuk Islam. Merupakan Khalifah yang ketiga. Dilantik pada tahun 24H selepas 3 hari pengkebumian 'Umar R.A. Antara 4 Khulafa al-Rashidin, beliaulah yang lama menjadi khalifah (hampir 12 tahun). Antara 10 orang yang dijanjikan syurga. Seperti mana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari :2778, Nabi SAW menjanjikan balasan syurga bagi sesiapa yang membeli telaga Ruumah yang bernilai 20ribu dirham untuk diminum oleh kaum muslimin, dan beliaulah yang membeli telaga tersebut. Beliau tidak menyertai perang Badar kerana merawat Ruqayyah. Satu-satunya Sahabat yang mengahwini 2 orang anak Nabi SAW, iaitu Ruqayyah dan Ummu Kulthum. Rugayyah R.A wafat pada tahun ke-2H. Kemudian Utsman berkahwin dengan Umm Kulthum R.A, yang kemudian wafat pada tahun ke-9H di Madinah. Kerana itu dia digelar Dzun Nuurain. Nabi SAW paling malu dengan beliau, hingga Baginda menyatakan bahawa malaikat juga turut malu dengan 'Utsman. Antara usaha beliau yang amat besar adalah mengumpulkan al-Quran selepas manusia berpecah. Seperti 'Umar R.A, 'Utsman telah syahid dibunuh dirumahnya.
'Ali bin Abi Thalib R.A
- Wafat pada tahun 40H(660M)
Khalifah yang ke-4. Sepupu Rasulullah SAW, juga menantu Baginda dengan mengahwini Fatimah R.A. Beliau merupakan kanak-kanak yang pertama masuk Islam ketika berumur lebih kurang 9 tahun. Ali R.A telah diambil oleh Rasulullah SAW dan mengasuhnya dari kecil, kerana pada masa itu suku Quraisy sedang mengalami suatu krisis, dan Abu Thalib adalah keluarga yang banyak anaknya.
Pada suatu ketika pada awal kerasulan Nabi SAW, 'Ali telah nampak Baginda dan Khadijah R.A sedang sembahyang. Ali bertanya "kepada siapa kalian sujud?". "Kami sujud kepada ALLAH, Yang mengutusku menjadi nabi dan memerintahkan aku mengajak manusia menyembah ALLAH", jawab Nabi SAW. Lalu Baginda mengajak sepupunya itu beribadat kepada ALLAH. Dia meminta waktu untuk berunding dengan ayahnya. Semalaman dia merasa gelisah. Keesokan harinya, katanya: "Tuhan menjadikan aku tanpa aku perlu berunding dengan Abu Thalib. Apa gunanya aku harus berunding dengan dia untuk menyembah ALLAH." Ketika waktu hijrah Nabi SAW ke Madinah, Ali R.A telah tidur ditempat Nabi SAW untuk mengelirukan kaum Quraisy ketika itu yang mahu menggagalkan hijrah Baginda. 'Ali bin Abi Thalib R.A mempunyai tempat yang istimewa di hati Rasulullah SAW.
Hampir semua peperang dia sertai kecuali perang Tabuk kerana mewakili Nabi SAW menjaga Madinah. Beliau seorang yang cekap dalam ketenteraan dan strategi perang. Mengalami kesulitan di zaman pemerintahannya kerana kekacauan yang luar biasa akibat peristiwa pembunuhan Khalifah 'Utsman bin 'Affan R.A. Kekacauan itu kurang dapat diselesaikan kerana fitnah yang sudah terlanjur meluas dan sudah diisyaratkan (akan terjadi) oleh Nabi SAW ketika Baginda hidup. Untuk pertama kalinya perang saudara antara umat Muslim terjadi iaitu perang Jamal((unta). Diketuai oleh 'Ali dan sepasukan lagi dipimpinan Zubair bin'Awwam, Talhah bin 'Ubaidillah dan Ummul Mu'minin 'A'isyah binti Abu Bakar R.A. Tidak hanya selesai disitu, konflik berkepanjangan terjadi hingga akhir pemerintahannya. Perang Siffin yang telah melemahkan kekhalifahannya juga berawal dari konflik tersebut.Beliau meninggal di usia 63 tahun, syahid dibunuh oleh Abdrrahman bin Muljam, seorang yang berasal dari golongan Khawarij(pembangkang) ketika beliau mengimami solat subuh di masjid Kufah pada tanggal 19 Ramadhan, dan menghembus nafas terakhirnya pada 21 Ramadhan tahun 40H.
No comments:
Post a Comment